Make your own free website on Tripod.com

Internet dan kepentingannya

Apa dia Internet?

Internet ialah satu entiti antarabangsa dimana kewujudannya sukar didefinisikan dengan satu perkataan. Internet berasal dari perkataan 'inter-networking' yang bermakna 'komunikasi di antara rangkaian'. Ini bermakna sambungan antara satu rangkaian (network) kepada rangkaian-rangkaian yang lain. Internet merupakan rangkaian komputer terbesar di dunia yang merentasi seluruh dunia. Ia adalah sumber maklumat global dan boleh mendapatkannya dalam beberapa saat sahaja. Internet menjalinkan hubungan serangkaian komputer yang berselerak di dunia ini untuk membolehkan komunikasi dua hala dan pertukaran maklumat secara bebas. Secara ringkas, Internet adalah rangkaian komputer antarabangsa yang disambungkan dan boleh dicapai oleh sesiapa saja yang ada dalam rangkaian ini.

Secara teknikal, Internet ialah sekelompok sambungan jaringan Protokol Internet (Inter-networking Protocol). Ini adalah satu koleksi berjuta-juta komputer kepunyaan individu, kerajaan, perniagaan, penyelidikan, pendidikan dan lain-lain organisasi yang disambung secara masa nyata melalui TCP/IP (Transmission Control Protocol / Internet Protocol). Protokol adalah satu set panduan atau "bahasa" yang digunakan oleh komputer untuk berkomunikasi di dalam suatu rangkaian.

Kepentingan Internet

Apabila kita disambungkan ke Internet, kita juga telah disambungkan ke berjuta-juta komputer di seluruh dunia yang memperagakan perkhidmatan yang boleh digunakan. Antara kepentingan-kepentingan Internet adalah seperti berikut :

a.) Cara komunikasi baru melalui mel elektronik (e-mel) yang mudah dan pantas Internet

menawarkan pelbagai perkhidmatan. Perkhidmatan yang paling ketara ialah mel elektronik, di mana mesej elektronik boleh dihantar kepada sesiapa saja yang disambung ke Internet. Mel elektronik atau singkatannya e-mel merupakan mel yang dikirim secara elektronikal menerusi sistem komputer.

Setiap orang mempunyai alamat e-mel yang unik di Internet untuk membolehkan mereka menghantar dan menerima e-mel. Ini bertujuan untuk memudahkan pengagihan mesej-mesej kepada alamat yang tepat, seperti mana kita perlukan nama dan alamat seseorang di atas sampul surat. E-mel hampir sama dengan mel pos biasa yang mengandungi alamat pengirim, nama dan alamat penerima serta isi kandungan mel. Apa yang berbeza ialah penghantaran mel menerusi E-mel adalah lebih pantas dan murah. Proses surat-menyurat dapat dilakukan dalam masa beberapa minit. Anda juga boleh menghantar salinan atau menyertakan lampiran.Penggunaan E-mel memerlukan perisian aplikasi seperti Eudora, Pegasus Mail, Nupop, cc:Mail, Netscape dan sebagainya.

b). Bersembang / berbicara sesama manusia melalui IRC ( Internet Relay Chat ).
IRC atau Internet Relay Chat merupakan salah satu ciri yang amat digemari dalam Internet. Pengguna Internet boleh berkomunikasi dengan pengguna Internet yang lain. Komunikasi dilakukan dengan menaip pada papan kekunci, seperti kita bercakap dalam telefon. Ini adalah lebih murah dan menjimatkan kos perbelanjaan telefon. Anda boleh mendapatkan program IRC di www.tile.net.

Dengan IRC, anda akan berada di dalam sebuah bilik sembang (chatroom). Bilik-bilik sembang ialah tempat-tempat di Internet di mana anda dapat berkomunikasi dengan sesiapa saja yang 'on-line' mengenai sesuatu topik. Apabila sudah masuk ke dalam sesuatu bilik sembang, anda boleh membaca kandungannya ataupun menyertai percakapan/perbicaraan dengan mereka yang ada di dalamnya. Adanya bilik sembang untuk peniaga-peniaga seperti 'Small Business', 'Business Law', 'Business and Accounting', 'Personnel Training' dan 'Business Ethics'. Bilik-bilik tersebut boleh menghubungkan anda kepada pakar-pakar, memberitahu anda tentang peristiwa-peristiwa tempatan dan norma-norma di mana-mana bahagian dunia, semua ini hanya dengan kos satu panggilan telefon tempatan.

c). Gedung maklumat yang luas.
Maklumat berbagai jenis dapat diperolehi di mana-mana tempat di seluruh dunia. Pengguna-pengguna Internet dapat pergi ke lokasi yang mengandungi maklumat-maklumat yang tertentu seperti kajian kes, pendidikan, perubatan, dan lain-lain.

Pengguna boleh menggunakan utiliti seperti 'Archie' untuk mencari fail-fail yang dikehendaki dalam Internet. Pengguna hanya perlu menentukan rentetan yang hendak dicari. Pelayan Archie akan melakukan carian kepada rentetan di dalam pangkalan datanya dan mana-mana pelayan yang disambung.

Keputusan carian akan menunjukkan nama fail, saiz dan tarikh fail dicipta, lokasi dan hos komputer di mana fail itu berada. Setelah pengguna mengetahui lokasinya, dia boleh menggunakan FTP ( File Transfer Protocol ) untuk memindahkan fail itu ke komputernya. Protokol ini membenarkan sambungan rangkaian ke komputer lain dan seterusnya memindahkan fail, sekelompok fail atau keseluruhan direktori antara mereka. FTP boleh memindahkan pelbagai jenis fail termasuk aplikasi, teks, grafik, audio, video, multimedia dan lain-lain.

d.) Kumpulan diskusi atau Newsgroup.
Newsgroup adalah kumpulan diskusi untuk pengguna Internet. Pertukaran idea boleh berlaku daripada pengguna Internet seluruh dunia. Jika anda menggunakan Netscape, anda perlu menukarkan Preference News Server kepada news.jaring.my. Kemudian anda boleh memilih menu Window: Netscape News.

Anda boleh melihat kumpulan diskusi di sini. Jika anda bersetuju untuk menyertai Newsgroup yang anda pilih, anda cuma klik pilihan 'subscribe'. Jadi, melalui Internet, anda dapat melibatkan diri secara aktif atau pasif dalam kumpulan-kumpulan perbincangan di seluruh dunia.

e). Boleh mendapat pendidikan global.
Seseorang murid sekolah atau seseorang pelajar kolej boleh dapat maklumat untuk kajian atau tugasannya melalui akses ke Internet di mana-mana lokasi pendidikan atau agensi-agensi yang mempunyai maklumat tersebut. Seorang mahasiswa universiti di Malaysia boleh mendapat maklumat tentang sesuatu projek melalui halaman web ( homepage ) sesuatu universiti di Amerika Syarikat.

Seseorang pelajar yang ingin melanjutkan pelajarannya ke sebuah universiti antarabangsa boleh mendapat maklumat mengenai syarat kemasukan, bayaranyang diperlukan dan lain-lain maklumat melalui Internet. Melalui e-mel, seorang guru boleh menjelajah ke seluruh dunia hanya dari bilik darjah dan bertukar-tukar pendapat dan maklumat

dengan sekolah lain di seluruh dunia. Perpustakaan elektronik dalam Internet dapat membantu guru dan pelajar dalam membuat penyelidikan. Pelbagai projek boleh diwujudkan melalui Internet dengan menghubungkan satu sekolah dengan sekolah yang lain. Berbagai masalah dapat diselesaikan dan berbagai maklumat dapat diperolehi dengan mudah dan murah jika dibandingkan perhubungan menggunakan telefon atau faks.

f.) Membantu memajukan perniagaan melalui halaman web ( Home page ).
Internet membantu menubuhkan syarikat-syarikat global. Internet memberi satu alat yang sempurna untuk membantu syarikat-syarikat ini mengendalikan rancangan-rancangan perniagaan dan mengembangkan kawasan geografikal syarikat mereka tanpa mendirikan syarikat mereka di sesebuah negara itu. Halaman-halaman web syarikat digunakan untuk memberi maklumat syarikat kepada orang ramai. Ia boleh menjadi punca untuk maklumat asas mengenai produk-produk mereka, atau menerangkan tujuan-tujuan , visi-visi , strategi-strategi dan polisi-polisi sesuatu koporat. Pembeli-pembeli dapat memilih barangan atau perkhidmatan yang ditayangkan pada halaman web.

Jika anda ingin membeli sebuah rumah, anda boleh melawat ke direktori perumahan 'on-line' di http://www.newhomes.com.my/newhomes/ di mana pemaju-pemaju perumahan mengiklankan projek perumahan mereka. Di samping pengiklanan tersebut, halaman ini juga memberi maklumat tentang harta tanah yang baru, maklumat pinjaman, maklumat bank-bank dan panduan pembeli.

g.) Perdagangan Elektronik ( Electronic Commerce ( EC )
Banyak syarikat menggunakan web sebagai komunikasi 'on-line' yang cepat dan selamat untuk berhubung dengan para rakan niaga dan para pembekal, dan juga membolehkan pelanggan-pelanggan memesan produk-produk dan perkhidmatan mereka melalui Internet. Pengusaha-pengusaha boleh memudahkan pembuatan mereka dengan memesan melalui Internet. Malaysia dipilih sebagai pusat bagi rantau Asia Tenggara oleh Pusat Pembangunan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( UNTPDC - United Nations Trade Point Development of Commerce ) yang bertanggungjawab terhadap pusat rangkaian pengesahan elektronik selamat ( SEAL ). SEAL ialah hubungan Intranet selamat bagi pusat perdagangan kebangsaan ke GTPNet ( Rangkaian Pusat Perdagangan Global ) melalui hub keselamatan. Ia juga pengiktirafan peringkat pertama untuk perdagangan elektronik ( EC ) di negara ini.

Pusat ini akan menyediakan capaian ke infrastruktur global selamat yang akan menambah kepercayaan antara rakan perniagaan dari seluruh dunia, selain menghubungkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan beberapa pusat perdagangan lain di 173 negara yang mempunyai projek serupa.

Pusat ini akan membawa kebaikan dan keuntungan kepada Malaysia, seterusnya kepada beberapa negara lain di Asia Tenggara dengan satu infrastruktur transaksi yang selamat dan berkesan. Ia akan mewujudkan suasana perdagangan yang lebih baik menggunakan standard antarabangsa dan keselamatan, seperti penggunaan kad pintar. Masa dan kos transaksi juga dapat dikurangkan di samping membawa rakan niaga enterpris kecil dan pertengahan (SME) yang baru. Mana-mana transaksi melalui SEAL akan mewujudkan satu rantaian saling bergantung antara pengendali dan pemain. Rantaian ini termasuklah pengeksport, pentadbiran kastam, pembekal maklumat, institusi kewangan dan insurans, pengangkutan dan pengimport.

h.) Mencari pekerjaan melalui Internet
Jika anda ingin mencari pekerjaan, anda boleh melawat 'Career Malaysia' di alamat tapak web http://www.asiaconnect.com.my//mycareer/index.html .

Anda akan memperolehi perkara-perkara berikut :
Maklumat tentang strategi mencari pekerjaan
Bagaimana menulis butir-butir peribadi (resume) yang efektif
Bagaimana menulis surat kepada majikan
Bagaimana menangani temuduga
Bagaimana hidup dalam tahun pertama yang kritikal

i.) Melabur atau Menanam modal ( investments )
Broker-broker saham dan pelabur-pelabur boleh mengakses maklumat perniagaan untuk bursa-bursa saham regional melalui Internet. Terdapat tapak-tapak web yang mempunyai perniagaan 'on-line' seperti 'Capital Market On-line Trading System' di http://www.cmots.com .

Di Malaysia, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terperinci setiap syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) melalui Internet secara percuma dengan sistem KLSE-RIS (singkatan kepada KLSE-RIIAM Information System). RIIAM (Institut Penyelidikan Analisa Pelaburan Malaysia) adalah syarikat di bawah naungan KLSE. Dari sini, pelabur-pelabur dapat keterangan yang cukup jelas mengenai sesuatu syarikat sebelum melibatkan diri dengan membeli saham syarikat tersebut untuk tujuan pelaburan.

j.) Persidangan Video (Video Conferencing)
Persidangan Video ialah satu aktiviti di mana pengguna boleh berhubung dengan seseorang yang berada di mana-mana bahagian dunia melalui kamera video digital dan mikrofon yang disambungkan kepada komputer peribadi melalui talian Internet. Ini menjimatkan masa dan kos untuk perjalanan ke tempat itu.

Dari segi perniagaan, ia mengelakkan keperluan pengurus-pengurus dan eksekutif menghabiskan masa dan wang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat atau konference. Dari segi pendidikan, ia membenarkan visi pengajian jarak jauh menjadi satu kenyataan. Dari segi perubatan, telemedicine akan memanfaat dari persidangan video sebab kawasan-kawasan di luar bandar tidak akan diterpencilkan dalam hal penjagaan kesihatan lagi.