PERBANDINGAN BELI PC BERJENAMA DENGAN PC KLON
(Bijak membeli menang memakai)

Jika anda diajukan soalan di  atas,  apakah  jawapan  anda? Masing-masing  tentu  sekali mempunyai  jawapan sendiri dengan seribu satu macam alasan. Atau, bagi yang belum memahami selok-belok pemasangan PC masih tertanya-tanya. Apakah yang dimaksudkan dengan 'berjenama' dan 'klon' itu?

Pengguna barangan elektrik tentu  biasa mendengar nama-nama seperti Panasonic, Toshiba, Sanyo, JVC, Sharp, Sony, Philips dan macam-macam lagi. Segala  peralatan elektrik yang kita gunakan di  rumah  biasanya  mempunyai jenama-jenama tersebut. Peralatan  yang dikeluarkan oleh kilang barangan elektrik tersebut merupakan barangan pasang-siap  yang  mempunyai jenama atau  "branded"  sebagai   identiti  mereka. Oleh  itu,  bolehlah  kita   katakan  bahawa  hampir  keseluruhan  barangan  elektrik merupakan  barangan  berjenama.  Jarang  sekali  kita  mendengar  barangan  elektrik  dibina  secara   'klon'. Pernahkah  anda mendengar  seseorang  membeli  perkakasan-perkakasan  dalaman  dan  memasangnya  sendiri  untuk  menjadikannya sejenis barangan elektrik, katakan televisyen atau peti sejuk? Mungkin anda perlu memiliki ijazah kejuruteraan elektrik sebelum mampu melakukannya!

Berbeza dengan barangan elektrik yang lain, PC bukannya  barangan  pasang-siap. Ia  merupakan  satu  gabungan perkakasan yang akhirnya menghasilkan satu sistem yang kita kenali sebagai komputer atau PC. Antara perkakasan utama bagi membentuk satu sistem PC itu adalah casing, papan induk, unit pemprosesan pusat (CPU),  memori (RAM), cakera keras, cakera liut, kad paparan, kad bunyi, pemacu CD ROM, monitor, keyboard dan mouse. Setiap  perkakasan  tersebut  dikeluarkan oleh banyak syarikat dengan jenama tersendiri. Kita sebagai pengguna bebas menentukan jenama pilihan kita bagi setiap perkakasan di atas
dan menggabungkannya menjadi satu sistem PC. Gabungan  itulah  yang  menghasilkan apa yang dinamakan  sebagai komputer 'klon' (Clone PC).

Saya  suka  mengambil  contoh  PC Klon  ibarat sebuah kereta kerana kebanyakan kilang kereta sebenarnya bukan 'membina' kereta,  sebaliknya  lebih kepada  memasang  komponen-komponen bagi menghasilkan sebuah kereta. Lihatlah contoh kereta nasional kita. Mungkin hanya enjin dan rangka badannya sahaja dibina di kilang Proton. Segala peralatan lain seperti tayar, rim,
kaset, kusyen, bateri, alat hawa dingin dan lain-lain lagi  mempunyai jenama  lain yang mempunyai pengeluarnya yang tersendiri. Ia hanya  dipasang di  kilang  Proton untuk menjadikannya satu sistem pengangkutan yang kita kenali sebagai Wira, Satria dan Iswara.

Konsep berjenama  bagi  PC hampir  menyamai contoh pembinaan kereta di atas. Anda tentu biasa mendengar jenama seperti Dell, Gateway, Compaq,  NEC,  Hawlett Packerd,  Acer, Fujitsu, dan pelbagai jenama PC lagi. PC berjenama (Branded PC)
biasanya  merujuk  kepada  sistem  komputer yang dipasang  dan dipasarkan oleh syarikat-syarikat yang disebutkan tadi. Perlu diingat  bahawa  mereka  hanya  memasang, bukannya  membina  perkakasan  komputer. Mungkin hanya satu dua perkakasan sahaja  dikeluarkan  oleh  mereka. Yang  lain-lainnya  diperoleh  daripada  vendor-vendor  utama  pengeluar  perkakasan  PC. Misalnya, hampir 100% cakera keras yang digunakan di dalam sistem PC hari ini adalah keluaran sama ada Quantum, Seagate, Maxtor atau IBM. Selain Fujitsu, tiada satupun syarikat yang saya sebutkan di atas mengeluarkan cakera keras mereka sendiri. Dan,  hampir  kesemua  sistem PC menggunakan pemacu cakera liut keluaran sama ada Misubishi atau Samsung. Kebanyakan pemacu CD ROM pula dihasilkan di kilang Lite-On di Taiwan, kemudian ditampalkan jenama masing-masing. Jika kita hendak mengambil  contoh  barangan  elektrik di  negara  kita, lihatlah  barangan  jenama SINGER. Yang  saya  tahu hanya mesin jahit satu-satunya  keluaran SINGER  yang  sejati. Barangan  lain  adalah dikeluarkan oleh kilang elektrik Sharp, yang hanya dibubuh nama SINGER dan dipasarkan oleh syarikat Regnis (M) Sdn. Bhd.

Saya bukanlah seorang yang anti-jenama. Dalam sesetengah keadaan, jenama biasanya melambangkan kualiti. Tetapi dalam hal ini, masih banyak yang boleh dipersoalkan. Jika hanya itulah alasan bagi  memilih PC  berjenama,  saya rasa  ia merupakan satu kesilapan  yang  sangat  besar. Secara  peribadi,  saya  berpendapat  seseorang  pengguna  yang  suka  mengambil tahu tentang perkembangan perkakasan PC, akan  memperoleh  sistem  yang jauh lebih berkualiti jika mendapatkan PC Klon kerana segala perkakasannya boleh ditentukan mengikut keperluan masing-masing. Dalam sesetengah keadaan, pengguna yang mendapatkan sistem  komputer  berjenama  seolah-olah  dipaksa  membeli  satu  sistem  yang telah  ditetapkan  oleh  pengeluar atau syarikat terbabit  tanpa  mengambil  kira  keperluan  sebenar pembeli  tersebut. Syarikat  telah menetapkan  spesifikasi bagi sistem yang dijual. Mungkin  pengguna  boleh memilih  daripada  beberapa  spesifikasi  yang dianggap 'paling sesuai' dengan keperluan dan harga yang termampu oleh mereka. Saya  katakan 'paling sesuai'  kerana pengguna tidak mempunyai pilihan untuk menetapkan
perkakasan yang benar-benar mereka perlukan.  Jika ada pun sesetengah syarikat pemasar PC berjenama yang membenarkan pembeli menentukan perkakasan mereka, secara relatifnya harga yang ditawarkan bagi perkakasan tersebut adalah lebih mahal berbanding harga pasaran yang sebenar.

Terdapat contoh  yang  jelas  bagaimana  pengguna seolah-olah terpaksa membayar harga ke atas barangan yang tidak mereka perlukan. Saya  pernah  bertemu  dengan  pemilik PC  berjenama  yang  mempunyai  modem dalaman  di  dalam  sistem  yang dibelinya dua tahun yang lalu dan sehingga hari ini beliau masih belum mempunyai sambungan ke internet. Dalam  kes yang lain,
seorang kawan telah membeli PC berjenama dengan keupayaan cpu 350 MHz  dan cakera keras bersaiz 4.3GB. Beliau hanya
menggunakan PC tersebut untuk menaip kertas kerja dan  menonton movie daripada VCD. Seorang kenalan lain memberitahu bahawa di  pejabatnya  terdapat  8 buah PC Multimedia  yang dibeli beberapa bulan yang lepas. Sehingga hari ini, PC tersebut belum mengeluarkan sebarang bunyi kerana pemacu CD ROMnya tidak pernah digunakan manakala  speaker  masih disimpan di dalam kotaknya yang asal. Saya rasa contoh-contoh di atas cukup jelas menunjukkan bagaimana manipulasi oleh penjual dan kejahilan di pihak  pembeli  menyebabkan  pembaziran  telah berlaku. Pengguna  telah membayar  ke atas sesuatu yang mereka tidak perlukan.

Ada pengguna  memberikan  alasan  bahawa  mereka  lebih  suka  memilih  PC berjenama  kerana ia lebih berkualiti, stabil dan mempunyai  khidmat  lepas  jualan  yang  baik. Saya  kurang  pasti dari  aspek  apakah  mereka  menilai  kualiti  dan kestabilan sesebuah  PC.  Jika  ia  diukur mengikut jenis perkakasan yang digunakan, saya rasa alasan tersebut masih boleh dipersoalkan.
Seperti yang saya  katakan awal-awal tadi, syarikat yang menjual  PC berjenama  tidak  membina perkakasan sendiri. Oleh itu mereka menggunakan perkakasan yang sama  sepertimana  yang boleh didapati oleh syarikat yang memasang PC secara klon.
Khidmat lepas jualan adalah sesuatu yang subjektif untuk dinilai. Walau bagaimana  tinggi sekalipun reputasi sesebuah syarikat,
seribu  pengguna  mungkin  mempunyai  seribu  tanggapan yang berbeza tentang mutu khidmat lepas jualan syarikat berkenaan. Tidakkah anda pernah melihat lambang Q (Kualiti) di mana-mana pejabat yang menyediakan khidmat  kaunter. Lambang tetap lambang, tetapi manusia bukan semuanya sama. Walau  sebesar pintu  sekalipun  lambang Q itu tertera di dinding bersebelahan kaunter, belum tentu anda akan mendapat layanan VIP semasa berurusan di kaunter tersebut.

Satu  gimik  yang  saya rasa  merupakan  lawak terbaik oleh penjual PC berjenama ialah khidmat sokongan secara 'hotline'. Ini terutamanya disediakan oleh syarikat-syarikat besar dan menyediakan perkhidmatan jualan secara 'online' atau melalui internet.
Bagi  sesetengah  pengguna  yang  mempunyai  tahap kemahiran  tertentu, ia mungkin berguna. Bayangkan bagaimana seorang pengguna  baru  yang  menghadapi  masalah  dengan PC yang  baru dibelinya. Mampukah mereka membetulkan masalah yang timbul dengan  hanya  mengikuti 'tuisyen' melalui telefon, atau  menghantar mesej mereka melalui internet. Siapa pula yang akan menanggung bayaran bil telefon sepanjang 'tuisyen' tersebut? Tentu sekali pembeli tersebut.

Sesuatu yang tidak boleh anda abaikan ialah soal jaminan atau warranty. Perlu diingat, kebanyakan perkakasan PC mempunyai tempoh   jaminan   yang  tertentu,  biasanya    antara 1  hingga  3 tahun. Jaminan  tersebut   sebenarnya  diberi  oleh  pengeluar perkakasan,  bukannya  syarikat  atau penjual PC. Syarikat atau penjual PC hanyalah perantara sahaja. Sekiranya mana-mana perkakasan PC anda mengalami  masalah  atau  kerosakan  dalam tempoh jaminan tersebut,  syarikat  atau  penjual tidak akan menggantikannya  dengan  serta-merta. Mereka  akan  menghantar  perkakasan   tersebut kepada pihak pengeluar perkakasan sama ada untuk dibaiki atau  digantikan dengan perkakasan yang baru. Tidak kira sama ada anda menggunakan PC berjenama atau PC klon,  anda   terpaksa   menunggu  untuk  tempoh  yang  tertentu. Jika anda tidak dapat bersabar, anda tentu terpaksa membeli perkakasan yang baru. Vendor yang benar-benar menjaga reputasi mereka biasanya tidak lokek untuk meminjamkan
buat sementara perkakasan yang ada dalam simpanan mereka sementara perkakasan anda yang bermasalah atau rosak itu siap dibaiki atau diganti oleh pengeluar perkakasan.

 Perbandingan 1.
 

 Bil Perkakasan Dell XPS T450 Acer Aspire 6180 PC Klon PIII 400 Mhz
1 CPU Intel Pentium III 450 Mhz Intel Pentium III 450 Mhz Intel Pentium III 450 Mhz
2 Motherboard                     -                  - Gigabytes Pentium III
3 Hard Disk 6.4 GB Ultra ATA 8.4 GB Ultra ATA 6.4 GB Quantum Fireball
4 RAM (Memory) 64 MB 100 Mhz SDRAM 64 MB 100 Mhz SDRAM 64 MB 100 Mhz SDRAM
5 Display Card Diamond TNT 16MB AGP ATI RagePro Turbo  8MB Savage4 32MB AGP
6 Sound Card TurtleBeach Montego II 320 3D SRS Surround Sound Creative AWE 64 Value
7 CD Rom Drive 40 X EIDE 40 X EIDE Creative 6 X DVD Drive
8 Floppy Drive 1.44 MB Mitsubishi 1.44 MB Mitsubishi 1.44 MB Mitsubishi
9 Monitor 17" Color (15.9" v.i.s) 15" Aspire Digital 17" Flatscreen OSD (0.26mm)
10 Keyboard Win98 Keyboard Aspire Magic Keyboard 108 keys Win98 Keyboard
11 Mouse Microsoft IntelliMouse PS/2 Aspire Intelligent Genius NetMouse Pro
12 Casing Mini Tower Aspire Micro Tower AT Medium Tower
13 Speaker Harman Kardon HK 195 Boston Acoustic + S/Woofer Altec Lansing ACS 45.1
14 Modem USR 56K PCI Voice Fax 56K PCI Internal V.90 56K Internal PCI V.90
  Harga RM 4,888.00 RM 4,688.00 RM 3,710.00

  Rumusan:

   Bandingkanlah spesifikasi perkakasan dan harga bagi tiga sistem PC yang disenaraikan di atas. Dell XPS T450 dan Acer Aspire 6180  mewakili  PC  Berjenama   manakala   PC  Klon PIII 450  adalah  sistem  PC  secara  klon.   Secara  peribadi,   saya berpendapat  bahawa  harga  Dell XPS T450 adalah tinggi  kerana  ia  31%  lebih  mahal  berbanding  sistem klon. Perbezaan harga  sebanyak  RM 1,178  itu  membolehkan  anda meningkatkan sistem klon itu kepada PIII 500 dengan 128MB RAM dan 13GB Hard Disk; ataupun mendapatkan sebuah TV warna 21" untuk bilik tidur anda. Dalam  semua aspek yang lain, terutamanya, pemacu CD dan kad grafik, sistem klon tersebut adalah jauh lebih baik berbanding Dell XPS T450.
   Sistem Acer Aspire 6180  pula  adalah  26%  lebih  mahal berbanding sistem klon tersebut.  Perbezaan harga adalah sebanyak RM978. Dalam  segala  aspek, sistem Acer Aspire 6180 jauh ketinggalan. Ia hanya menggunakan kad bunyi bermutu rendah yang diterapkan (built-in)  pada papan induk berbanding dengan kad bunyi Creative AWE 64  pada sistem klon yang menjadi idaman kebanyakan gamer. Kad Grafik, saiz monitor dan pemacu DVD pada sistem klon tersebut juga adalah jauh lebih baik, yang memerlukan pemilik sistem Acer menambah kos hampir RM1000 untuk memilikinya.


Perbandingan 2.
 

Bil Perkakasan Dell Dimension V400c Acer Aspire 6130 PC Klon Intel Celeron 400
1 CPU Intel Celeron 400 Mhz Intel Celeron 400 Mhz Intel Celeron 400 Mhz
2 Motherboard - unknown - - unknown - Intel SR440BX (Box)
3 Hard Disk 4.3 GB Ultra ATA 4.3 GB Ultra DMA 4.3 GB Seagate Keystone
4 RAM (Memory) 32 MB SDRAM 64 MB SDRAM 64 MB SDRAM
5 Display Card ATI 8MB 2X AGP Built-in ATI RagePro Turbo  8MB RivaTNT 16MB 2X AGP
6 Sound Card PCI 32 Bit PnP  3D SRS Surround Sound Creative PCI64V 3D
7 CD Rom Drive 40 X EIDE 40 X Acer 40 X LG Multiread
8 Floppy Drive 1.44 MB Mitsubishi 1.44 MB Mitsubishi 1.44 MB Mitsubishi
9 Monitor 15" Color Digital 15" Aspire Digital 15" LG with MPRII
10 Keyboard HP One Touch Keyboard Aspire Magic Keyboard 108 Keys AcerOEM Win98
11 Mouse Microsoft IntelliMouse PS/2 Aspire Intelligent Logitech PS/2 Mouse
12 Casing Mini Tower Design Aspire Micro Tower Medium ATX 
13 Speaker Polk Audio  Altec Lansing at Monitor Altec Lansing ACS 91
14 Modem                     - 56K PCI Internal V.90 56K Internal PCI V.90
  Harga RM 3,288.00 RM 3,488.00 RM 2,550.00

 Rumusan:

 Apa lagi yang boleh saya katakan. Selamat  datang ke alam realiti. Dengan  perbelanjaan  lebih kurang RM 2500,  anda sudah boleh berbangga dengan PC klon yang mampu anda miliki. Ia  memiliki  segala ciri yang diidam-idamkan oleh  mereka yang arif tentang  perkakasan  PC. Dalam  semua aspek  perkakasan,  sistem klon di  atas mengatasi  saingannya, Dell Dimension V400c  dan Acer Aspire 6130. Harga Dell Dimension V400c  adalah RM 3,288 iaitu hampir 30% lebih mahal berbanding sistem klon manakala  harga Acer Aspire 6130  adalah  RM 3,488 iaitu 37% lebih mahal berbanding sistem klon. Dan, perlu diingat, pembeli Dell Dimension V400c perlu  membelanjakan  tidak  kurang  daripada RM 300 jika mereka  mahu  menandingi  spesifikasi  perkakasan  yang  dimiliki  oleh  sistem klon berkenaan terutamanya dari segi saiz memori (RAM), kad grafik dan modem (tidak disediakan dalam model Dell) . Nampaknya peribahasa "Alah Membeli Menang Memakai" perlu dinilai kembali. Adalah lebih baik "Memang Membeli Menang Memakai".
                                                                                                                                                                             Atas