Peribahasa
Melayu berbunyi "Sediakan payung sebelum hujan." Madah
Melayu ini mempunyai nilai yang tersirat begitu mendalam. Oleh
itu, untuk melakukan sesuatu perkara perlu bersedia terlebih
dahulu. Orang yang sentiasa bersedia akan menghadapi sesuatu
kemungkinan yang datang dengan mudah, kerana mereka sudah
bersedia tapi sebaliknya bagi mereka yang tidak bersedia. Mereka
akan gagal akhirnya.
Ciri-ciri Pelajar yang
Cemerlang
- Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam
pendidikan.
- Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi
harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
- Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti
pengajaran guru.
- Membuat persediaan awal
apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada
ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR,
PMR, SPM dan STPM.
- Sentiasa bersiap sedia
dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan
yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan,
peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian
(peperiksaan yang sebenarnya).
- Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan,
buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan
sebagainya lagi.
- Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah
seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan
pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar
menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin
telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi
pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
- Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila
gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu.
Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke
kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan
untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan
penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
- Sentiasa menghormati guru
sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau
sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu.
Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan
kita ilmu.
- Bersoal-jawab dengan
guru untuk memahami pelajaran
yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang
terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu
pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
- Sering memberi pandangan
dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan
cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan
pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut.
Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman
pemikiran pelajar.
- Sering berbincang dengan
rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini
biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas
tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan
memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
- Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja
dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang
ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya
adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang
diberikan oleh guru mereka.
- Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang
mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam
peperiksaan.
- Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai
gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan
buku-buku untuk dipinjam.
- Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
- Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan
seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
- Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan
sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan
pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan
peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan
yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam
peperiksaan yang sebenar.
- Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di
luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang
berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai
dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
- Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan
keyakinan diri.
- Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik
menjawab soalan peperiksaan.
- Membeli buku-buku rujukan
yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar.
Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku
rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat
pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its
cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak
semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti
sesuatu buku rujukan.
- Mengikuti kelas-kelas tuisyen
untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar
dalam pelajaran.
- Mengadakan lawatan ke pameran-pameran
buku yang diadakan.
- Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang
cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat
pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
- Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba
mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba
mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran
luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti
sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang
masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar
melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
- Menjaga keselamatan
diri dengan mengelakkan
sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal
pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik
atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari
tangan kanan dalam kemalangan.
- Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk
penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu
banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang
kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup.
Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan
kesihatan.
- Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini
akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang
dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan
yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
- Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada
pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan.
Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya
itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang.
Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam
menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah
berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal
menghadapi peperiksaan.
- Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah
disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang
lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
- Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada
Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan
aspek jasmani dan minda pelajar.
- Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila
menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan
kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih
berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh
diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.